Dinar emas, dirham Perak dilancar esok- UTUSAN MALAYSIA

Dinar emas, dirham Perak dilancar esok

IPOH 26 Feb. - Perak akan melancarkan dinar emas serta dirham perak sebagai instrumen pelaburan dan simpanan pada Isnin ini.
Projek hasil kerjasama strategik GoldNet International Sdn. Bhd. dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu akan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan GoldNet, pembuatan dinar dan dirham berkualiti tinggi itu melibatkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Kangsar iaitu Mariwasa Kraftangan Sdn. Bhd.
"Dinar dan dirham Perak direka secara unik. Jata negeri Perak ditempa di bahagian muka hadapan wang syiling tersebut sementara reka bentuk klasik dinar Islam yang pertama kali digunakan semasa zaman Khalifah Abdul Malik Marwan pula dicetak di bahagian belakang.
"Dinar Perak merupakan wang syiling seberat 4.25 gram 24K emas sementara dirham pula adalah seberat 3 gram 99.9 syiling perak," kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu juga, GoldNet telah melantik pengedar tempatan iaitu Nubex Sdn. Bhd. yang akan membeli dan menjual dinar serta dirham Perak ke seluruh Malaysia termasuk luar negara.
Menurutnya lagi, Nubex juga sedang dalam perbincangan dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) untuk mengedarkan syiling tersebut kepada pelbagai rangkaian cawangan yayasan tersebut.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_04.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan